KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pelanggan mabuk di dalam premis dipercayai menjadi punca berlaku rusuhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Kepong, Kuala Lumpur Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, susulan itu seramai 13 lelaki tempatan telah ditahan berusia 18 hingga 45 tahun.
Katanya, satu laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8 pagi daripada seorang anggota polis berusia 47 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur telah menjalankan operasi dan berjaya menahan kesemua suspek.
“Siasatan awal mendapati, insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pelanggan dalam keadaan mabuk di premis berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Basri, kesemua suspek kini direman sehingga 16 April ini bagi membantu siasatan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, polis akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















