Pendatang asing yang ditangkap dalam Ops Sapu Labuan.

KUALA LUMPUR – Seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dicekup dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan di tiga lokasi perumahan, awal pagi semalam.

Operasi yang berlangsung dari pukul 12.10 tengah malam hingga 2 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan, melibatkan seramai 31 pegawai penguat kuasa pelbagai pangkat.

“Hasil pemeriksaan terhadap 21 individu, enam warga asing berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah,” menurut JIM dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua PATI yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Labuan bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, dalam operasi sama, dua saman turut dikeluarkan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Jabatan Imigresen menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi mengesan, menangkap dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“Orang ramai serta majikan turut diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji PATI kerana tindakan tegas boleh dikenakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast