Lelaki cuba lari ketika serbuan Op Guardian siri 1/2026 di Jeti Perikanan Batu 3, Tanah Putih, Kuantan hari ini

KUANTAN – Taktik licik dua lelaki membuat pintu rahsia di lantai dalam bilik berkunci di sebuah rumah rakit di sini untuk bersembunyi daripada pihak berkuasa di sini bagi melarikan diri namun berjaya dihidu anggota penguat kuasa.

Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua lelaki tempatan berusia sekitar 30 dan 50-an nekad menyelam ke dalam Sungai Kuantan di Jeti Perikanan Batu 3, Tanah Putih di sini dengan harapan dapat masuk ke bilik berkunci itu melalui laluan pintu rahsia dari bawah rumah rakit tersebut.

Laluan pintu rahsia dalam bilik berkunci di sebuah rumah rakit di Jeti Perikanan Batu 3, Tanah Putih, Kuantan ketika serbuan Op Guardian hari ini

Bagaimanapun, tindakan berani mati itu digagalkan anggota penguat kuasa ketika serbuan Op Guardian Siri 1/2026 yang dijalankan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di perairan sekitar Kuantan hari ini.

Setelah kira-kira 15 minit cubaan melarikan diri dan bersembunyi di celah-celah bot serta jeti tersebut, dua lelaki terbabit akhirnya berjaya diberkas anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Penolong Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Rina Sharlinda Zabri berkata, seramai 20 individu yang ditahan menerusi Op Guardian bermula pagi tadi sedang dalam proses semakan untuk tindakan selanjutnya.

Penolong Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Rina Sharlinda Zabri

“Operasi bersepadu ini akan berlangsung selama tiga hari melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan. Tidak hanya fokus kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sahaja tapi bergantung kepada hasil risikan dan maklumat awal.

“Hari ini sudah pun terdapat tangkapan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang dan AADK,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Rina Sharlinda berkata, pihaknya sudah menjangkakan tindakan segelintir individu yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa ketika serbuan, namun anggota penguatkuasaan terlibat sudah bersedia bagi menangangi kejadian itu.

Seramai 60 anggota daripada 11 agensi penguatkuasaan terlibat dalam operasi kali ini.

Operasi bersepadu itu merupakan inisiatif Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang bagi menyatupadukan penguatkuasaan pelbagai agensi dalam membanteras jenayah maritim, khususnya penyalahgunaan dadah dan jenayah lintas sempadan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast