KUALA LUMPUR – Lebih 400 projek rendah karbon dijangkakan akan disiapkan menjelang akhir tahun ini dalam usaha menangani krisis tenaga global.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menangani cabaran krisis tenaga global dan melaksanakan penjimatan tenaga.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selaras dengan komitmen kerajaan MADANI terhadap pembangunan mampan, JKT telah menetapkan sasaran pelaksanaan lebih 200 projek rendah karbon setiap tahun, bermula tahun lalu.
“Pelaksanaan inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian negara, malah berupaya mengurangkan kos utiliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara signifikan.
“Setakat Disember lalu, sebanyak 131 projek pemasangan lampu tenaga solar telah dilaksanakan melibatkan 1,992 unit lampu dengan nilai keseluruhan RM15.34 juta,” jelasnya dalam kenyataan.
Selain itu, Kor Ming berkata, sebanyak 136 projek pemasangan lampu LED cekap tenaga, yang kini telah siap sepenuhnya, turut dilaksanakan melibatkan 4,513 unit lampu dengan nilai RM22.39 juta.
KPKT akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif rendah karbon di seluruh negara dengan memperluas penggunaan teknologi hijau dan mampan menerusi kerjasama strategik bersama PBT, agensi berkaitan serta pihak industri.
Semalam, KPKT juga mengeluarkan kenyataan menggesa 156 PBT seluruh negara melaksanakan enam langkah segera untuk menjimatkan penggunaan tenaga.
Tambah beliau, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya sentiasa komited memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan kementerian memberi impak nyata dari segi kecekapan tenaga, penjimatan kos serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. – MalaysiaGazette
















