SINGAPURA – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama acara perniagaan apabila menyertai The Meetings Show Asia Pacific (TMS APAC) 2026 yang berlangsung di Sands Expo & Convention Centre di sini.
Penyertaan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam TMS APAC 2026 sebagai sebahagian usaha berterusan mempromosikan Malaysia peringkat antarabangsa.
Acara berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 290 pempamer global, hampir 1,800 peserta serta kira-kira 600 pembeli terpilih dari lebih 70 negara.

Platform yang sama menjadi medan strategik untuk menghimpunkan perancang mesyuarat antarabangsa, wakil persatuan, pembeli korporat dan penganjur pameran bagi tujuan rangkaian perniagaan serta kerjasama industri.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kehadiran global dalam industri acara perniagaan.
“Platform seperti ini membolehkan kami berinteraksi secara langsung dengan pembeli antarabangsa, mempamerkan kemudahan bertaraf dunia serta keupayaan Malaysia dalam menganjurkan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran,” kata dalam kenyataan.
Tambah Mei Phing, usaha itu juga bertujuan menjana peluang perniagaan bernilai tinggi selain membina kerjasama strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan sektor berkenaan.

Dalam pada itu, MyCEB turut mengambil peluang mengadakan sesi padanan perniagaan serta aktiviti jaringan strategik bagi membuka peluang baharu kepada pemain industri tempatan.
Antara rakan industri Malaysia yang turut serta ialah Kuala Lumpur Convention Centre, Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Marriott International Malaysia, Penang Convention & Exhibition Bureau serta Shangri-La Kuala Lumpur.
Delegasi Malaysia secara keseluruhan menampilkan ekosistem lengkap melibatkan fasiliti acara, penginapan serta perkhidmatan profesional, sekali gus mengukuhkan daya saing negara sebagai destinasi acara perniagaan berskala besar.
Penyertaan dalam TMS APAC 2026 dilihat sebagai langkah strategik dalam memperluas jaringan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri acara perniagaan global. – MalaysiaGazette
















