Karya Pablo Picasso, L’Ecuyère et les clowns. Foto: Ihsan SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa empat karya seni bernilai tinggi telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia dan ditempatkan dengan selamat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, karya-karya seni itu merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hasil usaha berterusan Kerajaan Malaysia melalui pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa.

Wanita SPRM
Gambar hiasan

Menurutnya, nilai keseluruhan karya seni tersebut dianggarkan AS$198,125 (kira-kira RM786,556.25), melibatkan hasil karya artis terkenal dunia.

Jelasnya, ia termasuk Joan Miró – Composition (1953); Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934); Balthus – Etude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961)

“Kesemua karya seni ini telah ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan yang ketat dan sedang melalui proses penstabilan persekitaran (acclimatisation) bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum proses pembukaan, pengesahan dan penilaian dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN),” katanya.

Tambahnya, pemulangan karya seni itu bukan sahaja melambangkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa.

Ujarnya, sehingga kini, Malaysia telah berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.

“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan signifikan dan sering dijadikan rujukan serta penanda aras (benchmark) di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar,” katanya.

Tambahnya, setiap pemulihan aset, termasuk karya seni itu, membuktikan bahawa tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan, walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks.

“SPRM akan terus memperkukuh usaha pengesanan dan pemulihan aset secara agresif dan strategik, bagi memastikan setiap aset yang diperoleh secara tidak sah dikembalikan kepada negara demi kepentingan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast