KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM1 juta bagi penganjuran Piala Dunia sepak takraw selain tambahan RM825,000 untuk pelbagai program pembangunan sukan berprestasi tinggi, termasuk padanan sukan, dalam usaha memperkukuh kedudukan sukan itu di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Dr Mohamad Taufiq Johari berkata, penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia yang dirasmikan hari ini merupakan langkah strategik bagi melahirkan bakat baharu serta memperkasa pembangunan sukan berkenaan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Menurut beliau, program yang dilaksanakan menunjukkan potensi besar sepak takraw untuk terus berkembang, sekali gus membuktikan keperluan kepada sebuah institusi khusus bagi memacu pembangunan sukan tersebut.
“Akademi ini penting dalam memastikan pembangunan sepak takraw berjalan secara lebih sistematik dan berterusan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian berkenaan di sini, hari ini.
Tambahnya, penglibatan institusi pendidikan dalam pembangunan sepak takraw kini semakin aktif dan berperanan sebagai platform utama mencungkil bakat muda negara.
“Kerajaan akan terus memastikan sukan berprestasi tinggi seperti sepak takraw diberi sokongan sewajarnya, termasuk dari segi pembangunan atlet, pendidikan dan kebajikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen KBS untuk memastikan sukan tradisional berkenaan kekal relevan serta mampu bersaing di pentas dunia.
Majlis perasmian Akademi Sepak Takraw Malaysia itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta pemain industri sukan tanah air. – MalaysiaGazette
















