Kapal Malaysia, Ocean Thunder, Selat Hormuz
Gambar hiasan kapal Malaysia melepasi Selat Hormuz

PUTRAJAYA – Dua kapal milik Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke tanah air manakala lima lagi masih berada di Selat Hormuz susulan situasi keselamatan yang terus menjadi perhatian kerajaan.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini yang turut meneliti keadaan semasa laluan perkapalan di kawasan berkenaan.

“Pada waktu ini dimaklumkan terdapat dua kapal yang dalam perjalanan. Satu kapal dijangka tiba pada 17 April manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya.

“Terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” katanya dalam taklimat khas krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

Menurut Fahmi, kerajaan akan terus memantau rapat pergerakan kapal-kapal berkenaan serta memastikan segala aspek keselamatan anak kapal dan muatan diberi keutamaan.

Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat dan terkini berhubung situasi tersebut.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan satu daripada tujuh kapal yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz telah selamat melepasi kawasan perairan itu dan kini sedang menuju ke Malaysia.

Menteri Kewangan itu berkata, enam lagi kapal telah mendapat kelulusan dan sedang menunggu giliran untuk melalui laluan perdagangan penting itu.

Anwar turut memaklumkan perkata itu dizahirkan kepada beliau menerusi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast