Penunggang motosikal melalui Serena Hotel di Islamabad yang menjadi lokasi rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat. foto AFP

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

KEGAGALAN rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarijat di Islamabad bukan sekadar episod diplomasi yang tidak berhasil. Ia mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam iaitu krisis struktur dalam sistem antarabangsa yang masih dibentuk oleh ketidakseimbangan kuasa global.

Daripada sudut pandang Global South, kegagalan rundingan ini memperlihatkan betapa sukarnya bagi sebuah negara yang menuntut kedaulatan strategik untuk mencapai perdamaian dalam sistem dunia yang masih didominasi oleh hegemoni geopolitik Barat.

Secara rasmi rundingan tersebut bertujuan meredakan konflik yang semakin memuncak antara kedua-dua negara. Isu utama yang dibincangkan termasuk program nuklear Iran, sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Washington, memasukkan Lubnan dalam rundingan damai serta jaminan keselamatan serantau. Namun selepas berjam-jam rundingan, delegasi kedua-dua pihak meninggalkan meja perundingan tanpa sebarang persetujuan.

Bagi pemerhati geopolitik kegagalan ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana rundingan tersebut berlaku dalam konteks ketegangan yang jauh lebih besar daripada isu teknikal yang dibincangkan. Daripada perspektif Global South, konflik ini tidak boleh difahami hanya sebagai pertikaian mengenai senjata nuklear atau sekatan ekonomi. Ia adalah manifestasi daripada pertarungan mengenai siapa yang mempunyai hak untuk menentukan struktur keselamatan dan keseimbangan kuasa di Asia Barat.

Selama beberapa dekad rantau ini berada di bawah bayang-bayang pengaruh strategik AS dan sekutunya. Kehadiran pangkalan tentera, pakatan keselamatan serta campur tangan politik menjadikan Asia Barat sebagai salah satu kawasan paling penting dalam strategi geopolitik global Washington. Namun dalam dua dekad terakhir Iran muncul sebagai kuasa serantau yang semakin berpengaruh.

Negara itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan pertahanannya bahkan juga membina jaringan pengaruh politik dan strategik di pelbagai bahagian Asia Barat. Daripada sudut pandang Tehran, usaha tersebut adalah sebahagian daripada strategi mempertahankan kedaulatan negara dalam persekitaran geopolitik yang sangat tidak stabil.

Sebaliknya bagi Washington peningkatan pengaruh Iran dilihat sebagai ancaman kepada keseimbangan kuasa serantau serta kepentingan sekutu utamanya. Oleh itu konflik antara kedua-dua negara bukan sekadar perbezaan dasar tetapi mencerminkan percanggahan strategik yang lebih mendalam.

Sejarawan dan bapa sosiologi Islam Ibn Khaldun pernah menjelaskan bahawa kekuasaan politik sering berkembang melalui dinamika asabiyyah iaitu solidariti kolektif yang memberikan kekuatan kepada sesuatu kelompok. Dalam konteks konflik Iran–AS, kedua-dua pihak masih memiliki bentuk asabiyyah geopolitik yang kuat.

Amerika masih memimpin jaringan pakatan global yang luas. Manakala Iran pula menikmati sokongan politik dan simbolik dalam kalangan banyak kelompok yang melihatnya sebagai simbol penentangan terhadap dominasi Barat.

Selagi kedua-dua pihak mempunyai keyakinan terhadap kekuatan strategik masing-masing, rundingan damai biasanya tidak akan menghasilkan keputusan yang nyata. Dalam kerangka pemikiran Ibn Khaldun, perdamaian sering berlaku hanya apabila salah satu pihak mengalami keletihan politik atau kehilangan solidariti dalaman yang menjadi asas kekuatannya.

Selain itu kegagalan rundingan ini juga boleh difahami melalui analisis pemikir dan sosiogi Islam Algeria, Malek Bennabi. Bennabi berhujah bahawa banyak konflik dalam dunia Islam moden tidak boleh dipisahkan daripada warisan kolonialisme dan struktur kuasa global yang tidak seimbang.

Dalam perspektif ini isu sebenar bukan sekadar teknologi nuklear atau sekatan ekonomi tetapi persoalan yang lebih asas: siapa yang berhak menentukan arah politik dan keselamatan dunia Islam. Dari sudut pandang ini, rundingan di Islamabad sebenarnya menyentuh persoalan kedaulatan yang lebih luas.

Iran melihat dirinya sebagai negara yang berhak menentukan dasar keselamatan dan pembangunan teknologinya sendiri. AS pula berusaha memastikan bahawa keseimbangan kuasa di Asia
Barat tidak berubah secara drastik.

Konflik ini dengan demikian menjadi sebahagian daripada pertembungan antara aspirasi kedaulatan negara Global South dan struktur geopolitik yang dibentuk oleh kuasa besar Barat. Ahli teori geopolitik Alexander Dugin melihat konflik seperti ini sebagai sebahagian daripada peralihan dunia daripada sistem unipolar kepada sistem multipolar.

Dalam kerangka tersebut dominasi satu kuasa global semakin dicabar oleh kemunculan kuasa-kuasa serantau yang menuntut ruang autonomi yang lebih besar. Iran sering dilihat sebagai salah satu contoh negara yang menolak struktur dunia unipolar dan cuba membina kedudukan strategik yang lebih bebas.

Jika tafsiran ini diambil kira, kegagalan rundingan di Islamabad tidak semestinya menandakan kegagalan diplomasi semata-mata. Ia mungkin mencerminkan hakikat bahawa kedua-dua pihak membawa visi dunia yang berbeza. AS berusaha mengekalkan sistem antarabangsa yang memberi kelebihan strategik kepada rangkaian sekutunya, sementara Iran melihat dirinya sebagai sebahagian daripada gerakan yang menuntut sistem global yang lebih seimbang.

Lokasi rundingan di Pakistan juga mempunyai makna simbolik tersendiri. Pakistan berada di persimpangan geopolitik antara Asia Selatan, Asia Barat dan Asia Tengah serta mempunyai hubungan strategik dengan pelbagai kuasa besar termasuk China dan negara-negara Barat. Sebagai tuan rumah rundingan, Islamabad cuba memposisikan dirinya sebagai mediator yang
mampu menjembatani konflik antara kuasa besar.

Namun kegagalan rundingan tersebut menunjukkan konflik Iran–AS tidak mudah diselesaikan melalui mediasi serantau sahaja. Akar masalahnya berkait rapat dengan struktur sistem antarabangsa yang lebih luas, termasuk persaingan kuasa besar, geopolitik tenaga, dan perubahan keseimbangan kuasa global.

Dalam konteks ini, pandangan Malaysia juga penting sebagai sebahagian daripada suara Global South. Sejak sekian lama Malaysia menekankan prinsip kedaulatan negara, penyelesaian konflik melalui diplomasi dan penolakan terhadap campur tangan kuasa besar dalam urusan dalaman negara lain. Tradisi dasar luar ini boleh dikesan sejak era Tun Dr Mahathir
Mohamad yang sering mengkritik ketidakseimbangan dalam sistem antarabangsa serta dominasi politik Barat terhadap negara-negara membangun.

Pendekatan Malaysia secara umumnya berpegang kepada prinsip berkecuali strategik. Malaysia tidak melihat konflik global sebagai pertarungan blok yang memaksa negara kecil memilih pihak. Sebaliknya negara seperti Malaysia cenderung melihat dunia dari perspektif kerjasama Selatan–Selatan dan reformasi sistem global supaya lebih inklusif dan adil.
Dari perspektif ini, konflik Iran–AS memberikan pengajaran penting kepada negara-negara Global South. Ia menunjukkan bahawa kestabilan antarabangsa tidak boleh bergantung semata-mata kepada keseimbangan kuasa ketenteraan, tetapi perlu disokong oleh sistem global yang lebih adil dan menghormati kedaulatan semua negara.

Bagi Malaysia, pendekatan terbaik bukanlah menyokong konflik atau konfrontasi lebih jauh lagi memperjuangkan diplomasi yang lebih seimbang di peringkat antarabangsa. Dalam dunia yang semakin multipolar, negara-negara seperti Malaysia mempunyai peluang untuk memainkan peranan sebagai jambatan diplomasi antara pelbagai kuasa.

Dengan kata lain, kegagalan rundingan di Islamabad bukan sekadar kegagalan diplomasi. Ia adalah simptom kepada krisis yang lebih mendalam dalam sistem dunia. Selagi struktur antarabangsa masih dilihat sebagai tidak adil oleh banyak negara Global South, konflik seperti ini akan terus muncul dalam pelbagai bentuk.

Islamabad 2026 mungkin tidak menghasilkan perjanjian damai, tetapi ia telah mendedahkan realiti penting: perdamaian antara Iran dan Amerika Syarikat bukan sekadar soal diplomasi, tetapi soal bagaimana dunia mentakrifkan semula keseimbangan kuasa, kedaulatan dan keadilan dalam sistem antarabangsa abad ke-21 — satu cabaran yang juga harus difikirkan secara serius oleh negara-negara seperti Malaysia.

Ismail Hashim Yahaya

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast