Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pengumuman oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyak negara terjamin sehingga akhir Jun memberi kelegaan sementara kepada rakyat dan sektor ekonomi namun keperluan mendesak untuk pelan jangka panjang terus menjadi perhatian.

Menurut pandangan profesional dalam industri tenaga, Shahir Adnan, jaminan bekalan dalam tempoh jangka pendek itu tidak seharusnya menutup keperluan merangka strategi lebih mampan, telus dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

“Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan ialah ketiadaan jaminan bekalan selepas Jun yang boleh mencetuskan panik pengguna dan spekulasi pasaran.

“Selain itu, kebergantungan negara kepada faktor luaran termasuk geopolitik dan turun naik harga minyak dunia turut menimbulkan risiko terhadap kestabilan bekalan domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kesan terhadap kos sara hidup juga menjadi perhatian, apabila sebarang gangguan bekalan atau kenaikan harga berpotensi memberi impak langsung kepada rakyat serta keseluruhan rantaian bekalan dalam negara.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan strategik termasuk keperluan kerajaan bersama Petronas mengumumkan pelan jaminan bekalan sekurang-kurangnya bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang bagi mengurangkan ketidakpastian.

Selain itu, pengukuhan stok simpanan strategik negara disaran bagi meningkatkan kapasiti sebagai penampan ketika krisis bekalan global, di samping memastikan ketelusan melalui laporan berkala kepada rakyat mengenai status bekalan dan unjuran pasaran.

Cadangan lain termasuk memperkukuh mekanisme subsidi bersasar sekiranya berlaku kenaikan harga agar golongan berpendapatan rendah tidak terkesan secara langsung.

“Secara keseluruhannya, jaminan bekalan sehingga akhir Jun dilihat sebagai langkah awal yang positif namun belum mencukupi sebagai penyelesaian menyeluruh.

“Pendekatan lebih strategik dan bersepadu diperlukan bagi memastikan keselamatan tenaga negara kekal terpelihara dalam jangka panjang, dengan penekanan kepada kestabilan, ketelusan serta kebajikan rakyat,” tambahnya.

Terdahulu hari ini, Petronas mengesahkan bekalan bahan api di  rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara terjamin sehingga akhir Jun 2026 berbanding unjuran awal sehingga akhir Mei yang dilaporkan sebelum ini.

Petronas dalam kenyataannya berkata, syarikat itu terus mengurus rantaian bekalannya secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di seluruh rangkaian stesen susulan krisis tenaga global semasa yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Menurutnya, Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarainya, Petronas Dagangan Berhad. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Petronas jamin bekalan bahan api mencukupi hingga akhir Jun

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast