Gambar hiasan diesel
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan 36 stesen minyak sebagai hotspot manakala 55 buah lagi dikenal pasti sebagai lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan bahan api bersubsidi.

Pemangku Pengarah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Fisol Salleh berkata, penugasan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama elemen kontinjen telah dilaksanakan di stesen-stesen minyak terbabit bermula jam 6 pagi, hari ini.

Penugasan secara syif dengan kehadiran pegawai dan anggota PGA itu melibatkan enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, tumpuan penugasan adalah di stesen minyak yang beroperasi dalam tempoh 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berpotensi tinggi berlakunya aktiviti penyelewengan.

Bagi stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dan penugasan dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu pdrm dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di kawasan sempadan, di samping memastikan penyaluran bahan api bersubsidi kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Tambah Fisol, PDRM akan terus mempertingkatkan keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.

Orang ramai katanya, turut diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast