KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki disyaki warga tempatan berumur 20-an susulan video tular penganiayaan terhadap seekor anjing di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 32, Shah Alam, Selangor, kira-kira 3.40 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol berkata, dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, pihaknya turut merampas tiga ekor anjing bersama suspek di lokasi kejadian.
“Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian ini pada 15 April 2026 jam lebih kurang 2.14 pagi daripada orang awam yang melihat video tersebut di laman media sosial Tiktok.
“Kandungan video tersebut memaparkan (1)(L) bertindak kasar merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara 3 tahun, manakala Seksyen 428 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Laymand Rayne di talian 014-6907071. -MalaysiaGazette
















