KUALA LUMPUR – Pengekalan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter tidak lagi mencukupi untuk melindungi rakyat daripada gelombang kenaikan harga barang.
Justeru Institut Penyelidikan Strategik dan Dasar (INSAP) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai langkah mampan menangani krisis fiskal negara.
Pengarah INSAP, Woon King Chai berkata, krisis minyak semasa disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah Malaysia, lebih parah berbanding embargo minyak Arab pada 1973.

Menurut beliau, walaupun subsidi RON95 membantu mengurangkan beban pengguna di pam minyak, ia gagal mengekang kenaikan kos sara hidup secara menyeluruh kerana rantaian bekalan makanan negara bergantung kepada diesel yang telah meningkat sebanyak 124.7 peratus dalam tempoh tujuh minggu.
“Orang awam mungkin boleh bekerja dari rumah, tetapi perniagaan perlu diteruskan dan kos operasi kini amat tinggi,” katanya menerusi taklimat media mengenai krisis tenaga global di sini hari ini.
INSAP turut menyifatkan ekonomi Malaysia kini terperangkap dalam ‘perangkap fiskal’ yang semakin meruncing apabila kenaikan harga minyak dunia tidak lagi memberi kelebihan kepada negara sebaliknya memburukkan kedudukan kewangan.
Data dibentangkan menunjukkan hasil tambahan petroleum hanya mampu menampung kira-kira 26 peratus daripada peningkatan kos subsidi sekali gus menandakan tiada titik pulang modal fiskal pada mana-mana paras harga minyak.
Sehingga 14 April, keadaan sebenar dilaporkan 21 peratus lebih buruk berbanding senario paling pesimis, dengan kos subsidi bulanan April 2026 sahaja mencecah RM7 bilion, jauh melebihi bajet tahunan asal.
King Chai menjelaskan, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Pertama, Malaysia kini merupakan pengimport bersih minyak mentah sejak 2014-2015 dengan pengeluaran sebanyak 570,000 tong sehari berbanding penggunaan domestik 747,000 tong sehari.
Kedua, sumbangan hasil petroleum kepada pendapatan persekutuan merosot daripada 35 peratus pada 2010 kepada unjuran hanya 12.5 peratus bagi 2026.
Ketiga, dividen PETRONAS ditetapkan pada RM20 bilion bagi 2026 dan tidak meningkat selari dengan kenaikan harga minyak global.
Menurut INSAP, pelarasan subsidi semata-mata tidak mencukupi kerana berisiko melonjakkan inflasi kasar kepada antara 10.8 hingga 11.3 peratus.
Sehubungan itu, badan pemikir tersebut menggesa kerajaan mengembalikan semula GST sebagai instrumen utama menjana pendapatan negara secara mampan tanpa membebankan rantaian bekalan.
“Malaysia dianggarkan kehilangan RM163.6 bilion hasil cukai kepenggunaan sejak 2019 selepas GST digantikan dengan SST,” katanya.
King Chai menambah, pelaksanaan GST pada kadar lima peratus berpotensi menjana tambahan RM23.6 bilion setahun yang boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan tunai secara lebih mampan kepada golongan B40 dan M40.
Sebagai langkah segera, INSAP mencadangkan bantuan tunai krisis sebanyak RM200 sebulan kepada isi rumah B40 dan RM150 kepada M40 bawahan selama 12 bulan bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Pada masa sama, INSAP turut membangkitkan kebimbangan terhadap sekuriti tenaga negara apabila Malaysia hanya mempunyai stok komersial diesel sekitar 60 hari tanpa simpanan strategik yang diwajibkan undang-undang.
Justeru, mereka mencadangkan kajian kebolehlaksanaan Simpanan Petroleum Strategik (SPR) dimulakan dalam tempoh 90 hari bagi menilai keperluan rizab antara 30 hingga 90 hari.
Langkah itu penting memandangkan negara jiran seperti Jepun dan Korea Selatan mempunyai simpanan melebihi 200 hari bagi menjamin kestabilan bekalan ketika krisis global.
“Krisis ini tidak mencipta kelemahan fiskal Malaysia tetapi mendedahkannya. Negara perlu membina semula struktur hasil yang lebih mampan untuk masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















