GEORGE TOWN – Jabatan Penjara Malaysia menegaskan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku dalam operasi pengiringan banduan ke mahkamah seperti yang didakwa menerusi satu video tular semalam.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi kenderaan tersebut melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi termasuk mahkamah dan hospital di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, konvoi berkenaan terdiri daripada dua bas serta sebuah van sebagai kenderaan pendahulu dengan pergerakan dilaksanakan secara tersusun menggunakan lampu isyarat dan siren bagi tujuan keselamatan.
“Sepanjang perjalanan, jarak antara kenderaan sentiasa dikekalkan secara konsisten dan tidak terputus selaras dengan prosedur pengiringan yang ditetapkan.
“Namun, salah sebuah bas mengalami kerosakan teknikal sejurus selepas konvoi bergerak, menyebabkan kenderaan itu tidak dapat meneruskan perjalanan,” katanya.
Jelasnya, susulan insiden tersebut, pegawai bertugas membuat keputusan untuk meneruskan pergerakan konvoi utama bagi memastikan penghantaran banduan ke mahkamah tidak menjejaskan jadual prosiding.
“Dalam masa sama, pergerakan konvoi melibatkan pemisahan laluan yang telah dirancang, apabila kenderaan pendahulu meneruskan perjalanan ke hospital manakala bas pengiring bergerak ke mahkamah yang ditetapkan.
“Semua pergerakan ini dilaksanakan berdasarkan keperluan operasi serta perancangan logistik semasa,” katanya lagi.
Tambah kenyataan itu, setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan aspek keselamatan dan keutamaan operasi di lapangan, selain mematuhi SOP sedia ada.
“Pada masa sama, semakan dalaman akan tetap dijalankan bagi menilai keseluruhan pelaksanaan operasi dan memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej serta integriti jabatan penjara,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media semalam melaporkan, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrasegar mendakwa dua bas milik Jabatan Penjara dipandu tanpa mengikut protokol pengiringan yang sah dalam satu insiden di Kajang menghala ke Cheras, Selangor.
Dakwanya, kejadian itu bukan sekadar isu trafik, sebaliknya membabitkan pelanggaran integriti dan prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dipatuhi.
“Berdasarkan rakaman video yang diperoleh, kedua-dua bas terbabit dilihat bergerak tanpa sebarang unit pengiring seperti motosikal atau kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan bagi mengawal laluan,” katanya. – MalaysiaGazette















