KUALA LUMPUR – Pelakon Norish Karman mahu berfikiran positif apabila masih bergelar ibu tunggal sambil berpendapat dia harus memberi fokus terlebih dahulu kepada lapan orang anaknya.
Norish atau nama lengkapnya, Nor’Ashikin Karman, 52, berkata, tempoh 14 tahun memegang status ibu tunggal mungkin jihad buat dirinya kepada anak-anak walaupun terpaksa menolak pinangan beberapa individu atas beberapa faktor termasuk berstatus suami orang.
“Mungkin Allah kata belum (kahwin semula) lagi. Mungkin jihad saya kepada anak-anak dulu,” katanya dalam siaran langsung TikTok bersama usahawan dan pempengaruh Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.
Aliff membuat amal dengan membantu keluarga Norish melalui sumbangan wang tunai lebih RM15,000 hasil jualan produk.
Menerusi sesi siaran langsung itu, Aliff berkata, Norish tidak meminta sumbangan sebaliknya pelakon itu hanya mahu bekerja.
“Saya tegaskan disini, Norish tidak meminta, dia datang sini ingin beraya dan minta kerja. Boleh tak jadi hos ke, duta ke atau kerja di pejabat. Anak-anak kerja,” kata usahawan itu.
Untuk info, Norish Karman pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, namun bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Haqiem Amany, 27, Muhammad Hady Amieran, 23, Nur Hanyz Amanda, 25, dan Haq Alexander, 15.
Sementara itu, empat anak angkatnya ialah Hasbi Fadullah, 15, Hasya Farahiya,13, Haziq Fadillah, 12, dan Hazra Farisya, 7. – MalaysiaGazette















