KUALA LUMPUR – Cucu kepada Shamsiah Fakeh melahirkan rasa kesal dan amat kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku membabitkan anggota Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) berkenaan.
Malah, Jamaliah Jamaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata, Memoir Shamsiah Fakeh telah diterbitkan sejak tahun 2004, iaitu lebih dua dekad yang lalu, dan telah diulang cetak beberapa kali.
Menurutnya, kandungan buku itu lebih bersifat penceritaan perjalanan dan pengalaman hidup Shamsiah Fakeh, selain tiada gerakan ekstrem yang turut dilaporkan berpunca daripada penulisan dan penerbitan buku tersebut.
“Secara peribadi, saya amat kecewa dengan tindakan KDN yang tidak berasas ini.
“Malah, ia berpotensi menyempitkan ruang wacana serta budaya ilmu, dan secara tidak langsung membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem.
“Justeru, saya menggesa pihak KDN untuk menilai semula keputusan ini dan menarik balik perintah larangan tersebut,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, KDN mengambil tindakan mengharamkandua buah penerbitan bertajuk ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10’ dan ‘Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’ terbitan Gerakbudaya.
KDN dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan intelektual, sebaliknya merupakan tindakan pencegahan yang perlu diambil bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette















