SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor merangkumi beberapa langkah jangka segera dan sederhana bagi membantu rakyat dan industri menghadapi kesan konflik Asia Barat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM130.42 juta diperuntukkan untuk insiatif tersebut bagi Fasa 1 yang akan bermula Jun ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut antaranya akan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan.
“(Selain itu) meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan yang paling terkesan,” katanya dalam sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, hari ini.
Katanya, daripada peruntukan berkenaan sebanyak RM5 juta ditambah Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang dianjurkan sebulan sekali di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
“Ini mampu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan bakal memanfaatkan sehingga 168,000 isi rumah,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada Gudang Makanan Selangor (GMS) untuk meningkatkan stok bekalan makanan.
“Langkah ini supaya sekiranya berlaku sebarang kekurangan import makanan, Selangor dapat mengaktifkan GMS yang mempunyai stok seperti beras dan protein agar harga barang mentah tidak melonjak terlalu tinggi,” katanya lagi.
Selain itu, Amirudin memaklumkan, Selangor akan memperkenalkan Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan dalam tempoh enam bulan untuk 50,000 warga negeri itu dan bantuan sarapan percuma pelajar untuk 873 buah sekolah di negeri itu.
Beliau turut memaklumkan bantuan sektor pertanian antara RM300 hingga RM600 sebulan akan disalurkan bagi tempoh enam bulan.
“Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor juga memperuntukkan RM6 juta untuk pemerkasaan usahawan koperasi Selangor,” kata Amirudin lagi. – MalaysiaGazette
















