Menteri di Jabatan Perdana (Menteri Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menyampaikan sumbangan kepada Pelakon veteran, Maimunah Ahmad semasa Majlis Santunan Kasih Asnaf Tahun 2026 di Dewan Perdana FELDA, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Jemaah haji Malaysia tidak akan menanggung sebarang penambahan kos bagi musim 1447H/2026M walaupun berlaku lonjakan harga minyak susulan konflik di Asia Barat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat persiapan rapi termasuk menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan, sekaligus memastikan kos kekal terkawal.

“Setakat ini, insya-Allah tiada peningkatan atau penambahan kos kepada semua jemaah haji kita. Mereka boleh berangkat dengan tenang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini dua penerbangan awal melibatkan 230 petugas telah selamat tiba di Tanah Suci, manakala kumpulan pertama jemaah haji dijadual berlepas pada Sabtu ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kerajaan akan menambah subsidi berikutan peningkatan kos akibat konflik yang berlaku sejak April lalu.

Sebelum ini, media melaporkan kos menunaikan haji bagi musim 2026 ditetapkan pada kadar RM33,300.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain pula memaklumkan bahawa faktor kenaikan kos bahan api telah diambil kira dalam perjanjian sedia ada dengan syarikat penerbangan.

Katanya, perjanjian selama tiga tahun bersama syarikat penerbangan termasuk Saudia Airlines dan Malaysia Airlines membolehkan kos penerbangan dikawal dalam julat tertentu.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan dana zakat.

“MAIWP sangat proaktif dan berjaya meningkatkan profesionalisme serta tadbir urus yang baik.

“Malah, Jabatan Audit Negara telah merekodkan 19 tahun audit bersih bagi MAIWP, sekali gus meningkatkan keyakinan pembayar zakat terhadap integriti institusi itu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast