Dua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Merlimau, semalam.

JASIN – Misteri kes kecurian hidupan laut di sebuah kedai makan di Pantai Siring, Serkam di sini yang tular Isnin lalu akhirnya terjawab apabila polis berjaya menahan seorang lelaki yang mengaku terlibat kejadian itu semalam.

Lebih mengejutkan, suspek berusia 33 tahun bersama seorang lagi lelaki, 39 tahun sebelum itu turut dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk stor Surau At-Taqwa, Taman Merlimau Utara pada 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Batu 11, Pulai Baroh, Merlimau di sini dalam serbuan kira-kira jam 4 petang semalam.

“Hasil siasatan awal, suspek berusia 33 tahun mengaku terlibat dalam kes kecurian makanan laut di sebuah premis di Pantai Siring yang sebelum ini tular di media sosial.

“Suspek dan rakannya berusia 39 tahun juga mengaku terbabit dalam kejadian pecah masuk stor surau berkenaan menyebabkan beberapa barangan seperti televisyen dan pembesar suara hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah televisyen 45 inci, set mikrofon tanpa wayar dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.

“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, malah ujian saringan air kencing ke atas salah seorang suspek didapati positif methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

MalaysiaGazzette pada 13 April lalu melaporkan kejadian kecurian mentarang, belangkas dan beliung di sebuah kedai makan di Pantai Siring menarik perhatian ramai selepas tular di media sosial. – MalaysiaGazette

Polis buru suspek curi belangkas, mentarang dalam kedai di Pantai Siring

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast