PEKAN – Seorang pengurus kilang di sini berputih mata selepas kerugian hampir RM200,000 akibat terpedaya dalam urusan kerja sambilan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa wanita berusia 42 tahun itu mula terpedaya selepas menemukan iklan kerja sambilan di laman Facebook dan berhubung dengan suspek.
“Mangsa bersetuju dengan tawaran kerja sambilan yang ditawarkan dan telah menerima pulangan seperti yang dijanjikan sebanyak RM11,038.40 setelah berjaya menyelesaikan beberapa tugasan yang telah diberikan.
“Seterusnya, mangsa dikehendaki memasukkan wang bagi menyelesaikan setiap tugasan lain dan ditawarkan komisen yang berganda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata, mangsa yang mempercayai tawaran suspek telah melakukan sebanyak 48 transaksi pindahan wang secara atas talian melalui akaun mangsa kepada lapan akaun yang berbeza berjumlah RM192,959.18.
Beliau berkata, mangsa kemudian meminta komisen yang dijanjikan suspek, namun telah diberikan pelbagai alasan.
“Disebabkan sudah kehabisan wang simpanan peribadi, mangsa telah membuat pinjaman secara atas talian sebanyak RM30,000 dan telah dihubungi wakil syarikat pinjaman tersebut.
“Mangsa diminta membuat bayaran sebagai caj pinjaman dan telah membuat dua kali transaksi secara atas talian kepada dua akaun berbeza melalui imbasan kod QR,” katanya.
Menurut Mohd Zaidi, mangsa mula berasa curiga setelah sekali lagi diminta membuat pembayaran kepada suspek atas alasan tidak munasabah dan terus membuat laporan kepada polis.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















