ALOR GAJAH – Polis sedang memburu pemandu bas yang tular videonya memandu sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan mabuk ketika perbuatannya itu dirakamkan lelaki dipercayai penumpang bas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman itu yang tersebar di media sosial hari ini.
Menurutnya, rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

“Siasatan awal mendapati video tersebut mula tular sekitar jam 1.05 tengah hari tadi melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.
“Bas ekspres berkenaan dipercayai bernombor pendaftaran BSB 4999 yang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Lokasi kejadian dipercayai di sekitar Kilometer 196.1 arah selatan, namun masih dalam siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, video yang tular turut disertakan dengan keterangan ‘Pemandu Bas “Mabuk” Siap Maki Hamun Penumpang Bas Lepas Kantoi Buang Tin Minuman Arak. Bas Menuju Dari Johor Bahru Menghala Kuala Lumpur.’
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, perbuatannya memandu sebelah tangan boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Sehubungan itu, polis meminta pemandu bas berkenaan tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian turut diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















