Sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media berkaitan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menumpaskan sindiket dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket menyembunyikan dadah dalam tin makanan bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar dalam Op Icerya dengan rampasan dianggarkan RM3.05 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Sabah, JSJN IPK Sabah dan JSJN Bukit Aman.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan tiga siri serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan lima suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan, tiga lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 22 hingga 45 tahun.

“Serbuan pertama di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan membawa kepada penahanan dua suspek serta rampasan empat kotak mengandungi 48 tin yang disyaki berisi methamphetamine seberat 30.4 kilogram.

“Susulan itu, seorang lagi suspek ditahan di tepi jalan sekitar Bukit Jalil, sebelum serbuan ketiga dilakukan di sebuah pangsapuri di kawasan sama yang membawa kepada penahanan dua lagi suspek,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 30 bungkusan plastik disyaki methamphetamine seberat 30.6 kilogram.

Secara keseluruhan, ujarnya, sebanyak 61 kilogram methamphetamine bernilai kira-kira RM3.05 juta dirampas.

Katanya, siasatan mendapati sindiket yang mula aktif bulan lalu itu menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah di dalam tin makanan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dihantar ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier.

Jelasnya, peranan suspek dikenal pasti sebagai runner, transporter dan koordinator, manakala seorang lagi suspek merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari, dengan dua suspek bermula 15 April hingga 21 April, manakala tiga lagi bermula 16 April hingga 22 April.

“Polis turut menyita dua kenderaan iaitu Honda City dan Hyundai Elantra dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM79,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sekitar RM3.13 juta,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast