CEO Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy mengadap Tunku Besar Tampin, Kol.(K) Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri
CEO Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy mengadap Tunku Besar Tampin, Kol.(K) Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri

KUALA LUMPUR — Anak kelahiran Tampin yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Datuk Chandran Rama Muthy mengadap Tunku Besar Tampin, Kol.(K) Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dalam suasana penuh mesra di sini hari ini.

Tunku Syed Razman menyifatkan kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Batik Air Malaysia itu sebagai amat bermakna sekali gus membuktikan anak watan Tampin juga mampu menempa kejayaan besar termasuk dalam sektor penerbangan antarabangsa.

Baginda menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut dan menyeru lebih ramai anak Tampin yang berjaya dalam pelbagai bidang untuk tampil berkongsi pengalaman serta kepakaran demi manfaat generasi seterusnya.

“Diharapkan perkongsian pengalaman dan kejayaan mereka akan menjadi motivasi untuk lebih ramai anak-anak muda dan pelajar di Tampin berusaha lebih gigih demi menggapai cita-cita serta masa depan yang cemerlang,” titah baginda.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah mantan Pengurus Kanan Keselamatan Operasi Petronas di Iraq (kawasan Garraf, Wilayah Thi Qar), Zaharudin Abd Hamid yang juga anak kelahiran Tampin bersama isteri, Datuk Ruhaidini Abd Kadir yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) merangkap Pengerusi VFive Media Ads dan Violet Pacific Media Ads.

Majlis itu turut disertai Pegawai Bahagian Penterjemahan dan Bimbingan di Masjid al-Haram, Makkah al-Mukarramah, Sheikh Muhammad Jamil Mujahed; Pengasas dan Pengarah Urusan Teraju Construction Sdn Bhd, Fakhrul Nazhi Hanaffi serta Pengasas dan Pengarah Urusan Emreka Group Sdn Bhd, Mohd Kasarudin Suudi.

Dalam pada itu, Tunku Syed Razman menasihatkan anak-anak Tampin yang kini menerajui jabatan kerajaan dan agensi swasta agar kembali menyumbang kepada pembangunan daerah berkenaan supaya ia terus maju setanding bandar-bandar lain di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Chandran, 46, berkata beliau tidak pernah melupakan pengalaman membesar dan menuntut ilmu di Tampin kerana ia menjadi asas penting dalam membentuk jati diri serta ketahanan menghadapi cabaran.

Dalam suasana santai itu, baginda turut berkenan membawa Chandran melawat sekitar Balai Kediaman Rasmi yang sarat dengan nilai sejarah sekali gus menzahirkan hubungan erat antara institusi diraja dan anak jati Tampin yang berjaya di persada global. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast