Shamir Aziz, Ketua Eksekutif HRD Corp, berkongsi fokus utama organisasi dan penambahbaikan struktur bersama warga kerja.

KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melengkapkan proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh, menandakan peralihan ke arah pelaksanaan dan penyampaian selaras dengan agenda MADANI dalam membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Dilaksanakan sepanjang dua bulan yang lalu, penstrukturan merangkumi penyusunan semula yang menyeluruh, tadbir urus, pengurusan dan operasi, memperkukuh integriti institusi serta mewujudkan struktur operasi yang lebih jelas dan berakauntabiliti.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, organisasi kini berada dalam jajaran yang jelas bagi menyokong hala tuju yang ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara.

Shamir Aziz

Beliau menyatakan kepimpinan Ramanan telah memainkan peranan penting dalam membentuk momentum dan disiplin pelaksanaan ‘reset’ sekali gus mencerminkan pendekatan yang tersusun dan berstruktur dalam menangani cabaran institusi yang kompleks.

Hala tuju ini mencerminkan penekanan berterusan terhadap pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan penyampaian serta
memastikan sistem latihan negara kekal berwibawa, relevan dengan industri dan berimpak tinggi di bawah kerangka MADANI.

“Reset telah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan,” kata Shamir dalam kenyataan.

Warga kerja HRD Corp menghadiri sesi town hall sebagai sebahagian
daripada usaha transformasi dan kemas kini organisasi.

Pada peringkat pengurusan, isu-isu legasi daripada dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini telah sebahagian besarnya diselesaikan, dengan penyerahan kini dibuat kepada pihak berkuasa.

Penstrukturan organisasi telah disempurnakan sepenuhnya termasuk penempatan semula dan penyelarasan berdasarkan kompetensi dan fungsi pekerja.

Bidang kritikal seperti Perundangan, Audit dan Penguatkuasaan telah diperhebat bagi memantapkan lagi tadbir urus dan pematuhan manakala struktur operasi telah diperkemas untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan.

Fungsi strategik turut semula bagi memastikan fokus dan akauntabiliti.

Sebagai sebahagian daripada reset ini, HRD Corp telah memperketat kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi bagi memulihkan pemantauan dan akauntabiliti.

Sebelum ini, tuntutan boleh dikemukakan selepas latihan dilaksanakan termasuk pada hari yang sama sekali gus mengehadkan pemantauan yang berkesan.

Di bawah prosedur operasi standard yang baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh dengan tempoh masa dan jangka pelaksanaan yang ditetapkan.

Ia membolehkan HRD Corp menggerakkan pasukanpenguatkuasaan di lapangan bagi memastikanketerlihatan yang penuh serta melakukan pengesahan aktiviti latihan.

HRD Corp juga telah mengisi kekosongan kepimpinan utama dengan pelantikan ketua pegawai kewangan dan ketua pegawai operasi, jawatan yang sebelum ini kosong di samping mengetengahkan bakat dalaman ke jawatan kanan dan
pengurusan bagi memperhebat kesinambungan dan prestasi organisasi.

Dalam masa yang sama, HRD Corp telah melengkapkan perancangan bajet yang telah diluluskan oleh lembaga pengarahnya.

Ia termasuk peruntukan strategik yang signifikan bagi mempercepat keutamaan pembangunan tenaga kerja negara
dengan perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Shamir menegaskan, HRD Corp tidak lagi akan ditakrifkan sebagai cabaran masa lalu sebaliknya oleh keupayaannya menunjukkan hasil di bawah tekanan.

“Kini, keutamaan kita adalah pelaksanaan untuk memberikan hasil, memulihkan keyakinan serta memastikan pekerja dan perniagaan Malaysia bersedia untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap ketidaktentuan global yang semakin meningkat,” tambah beliau.

Dengan tadbir urus yang diperhebat, kepimpinan yang semakin diperkukuh serta hala tuju yang jelas selaras dengan keutamaan negara, HRD Corp kini berada dalam kedudukan untuk bertindak secara tegas, meningkatkan daya tahan tenaga kerja serta menyokong kesinambungan industri dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast