SHAH ALAM – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menyifatkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta sebagai langkah awal yang tegas dalam menghadapi kesan krisis tenaga global.
Beliau berkata, pengumuman pakej itu menunjukkan kerajaan negeri tidak menunggu tekanan memuncak sebelum bertindak, sebaliknya tampil lebih awal bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Ini bukan sekadar respons, tetapi satu langkah awal yang jelas untuk memastikan rakyat tidak terus terhimpit dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Danish yang juga Timbalan Ketua Keadilan Cabang Kota Raja berkata, kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilihat konsisten mendahului krisis dengan pendekatan tersusun termasuk penubuhan pasukan petugas khas dan pemantauan berkala.
Menurutnya, pakej berkenaan memberi fokus terus kepada rakyat melalui beberapa inisiatif konkrit melibatkan kos sara hidup dan jaminan bekalan makanan.
Antara langkah diumumkan termasuk peruntukan RM50 juta bagi Gudang Makanan Selangor, pemberian Baucar Kita Selangor sebanyak RM100 sebulan kepada 50,000 penerima, serta bantuan RM25 juta kepada lebih 17,000 pengusaha sektor pertanian.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan negeri memahami kesan rantaian krisis tenaga terhadap harga makanan, inflasi dan kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, selain membantu dalam jangka pendek, pakej itu turut meletakkan asas kepada kesiapsiagaan masa depan melalui penerokaan sumber tenaga alternatif serta kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Ini adalah contoh kepimpinan yang mendahului krisis iaitu memastikan ekonomi kekal stabil dan rakyat terus terbela dalam apa jua keadaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















