Mohd Safri Ibrahim didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu.

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu antara lima hingga tujuh tahun lalu.

Mohd Safri Ibrahim, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen borang sebut harga dan penyata akaun bank milik syarikat berbeza yang dipalsukan bagi mendapatkan kerja pembinaan, membaik pulih dan penyelenggaraan di Muar.

Perbuatan tersebut dilakukan di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar antara 27 Ogos 2019 hingga 5 Julai 2020.

Pemilik syarikat itu turut dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen penyata akaun bank bagi tiga syarikat berbeza dan dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen penyata bank tersebut adalah palsu untuk mendapatkan kerja dan projek bagi syarikat terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Muar dan Majlis Perbandaran Muar antara 22 Julai hingga 9 Februari 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan berjumlah RM6,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi pemilik syarikat berkenaan.

Ahmad Hafiz dalam rayuannya, memohon jaminan yang minima memandangkan anak guamnya yang menghidap penyakit darah tinggi tidak bekerja selain perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan ibu yang uzur.

“Mohd Safri tidak mempunyai sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai penolong jurutera.

“Anak guam saya juga hanya sempat mengumpul bayaran jaminan berjumlah RM20,000 yang dipinjam daripada kawan-kawan dan adik beradik. Jadi, saya mohon jaminan yang minima antara RM3,500 hingga RM4,000 bagi setiap pertuduhan,” rayunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah bayaran RM4,000 bagi setiap pendakwaan yang dihadapinya dan menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast