Foto: Ihsan Polis.

KUALA NERUS – Polis menyita sebanyak 102 motosikal dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Tengku Mizan dekat persimpangan lampu isyarat Kampung Tebauk, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata operasi itu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), susulan aduan orang awam berkaitan kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan, menyebabkan bunyi bising serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan 228 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada insurans, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, Lesen Memandu Kompeten (CDL) tamat tempoh dan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.

“Operasi dari 10 malam tadi hingga 10 pagi hari ini melibatkan 40 petugas termasuk pegawai dan anggota polis serta JPJ.

“Kesemua motosikal yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan depoh JPJ untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azli berkata enam penunggang motosikal berusia antara 16 hingga 21 tahun mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan ketika operasi dijalankan.

Beliau berkata ia berpunca daripada tindakan seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dengan merempuh sekatan polis.

Tindakan itu menyebabkan mereka berlanggar sesama sendiri dengan empat daripadanya termasuk seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun dan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami kecederaan, dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Selain itu sebuah motosikal turut terbakar sejurus selepas kejadian. Pihak polis dan JPJ akan memperhebat operasi membanteras samseng jalanan yang menggugat ketenteraman orang awam.

“Perbuatan menjadikan jalan-jalan awam sebagai gelanggang berlumba secara haram dan membuat aksi seperti ‘Superman’ akan dikenakan tindakan tegas mengikut akta yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast