KUALA LUMPUR — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan sembilan negeri termasuk Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di Sarawak yang dijangka berlarutan sehingga pukul 6 petang ini.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia memaklumkan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Perlis selain Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling.
Keadaan cuaca buruk itu turut diramalkan melibatkan Perak di Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim) dan Terengganu (Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman) sehingga 6 petang Jumaat,” menurut kenyataan itu.
Selain negeri-negeri berkenaan, amaran sama turut membabitkan Kelantan di Jeli serta Pahang meliputi Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Di Selangor, kawasan terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, manakala Kuala Lumpur dan seluruh Johor juga dijangka menerima kesan cuaca tidak menentu tersebut.
Bagi Sarawak pula, antara kawasan diramalkan terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu serta Mukah meliputi Matu dan Dalat.
MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia lagi. — MalaysiaGazette
















