Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Syed Ibrahim Kader menyampaikan resolusi KIMMA kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis perasmian Perhimpunan KIMMA kali ke-46 di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 April 2026.

KUALA LUMPUR – Penyertaan Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sebagai salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendapat persetujuan sepenuhnya daripada parti lain dan perlu secara rasmi dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu terlebih dahulu.

Jelas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, proses tersebut perlu dipatuhi berlandaskan perlembagaan parti menyatakan bahawa permohonan mana-mana parti untuk menyertai BN perlu disepakati oleh pemimpin-pemimpin parti teras yang lain.

“Setakat ini, belum ada persetujuan untuk pindaan (perlembagaan) tapi jika benar ada parti yang tidak menghalang kemasukan KIMMA ke dalam BN tentunya  tuntutan saya bahawa parti teras membuat kenyataan dan pendirian rasmi,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA 2026 Ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Terdahulu, Presiden KIMMA dalam ucapannya memohon supaya diterima menjadi salah satu komponen BN selepas memohon sekian lama.

Sementara itu, Zahid berkata parti itu memerlukan sokongan daripada Friends of BN untuk mendepani pilihan raya yang akan datang.

Dalam masa yang sama katanya, pembahagian kerusi akan diagihkan mengikut kesesuaian pada masa akan datang.

“Kita mengetahui ahli-ahli parti komponen BN sahaja tidak cukup untuk memenangkan calon saya telah menyeru supaya jentera mula untuk menggamit dokongan daripada pengundi-pengundi daripada ahli bukan parti komponen untuk bersama-sama biarkan bila pilihan raya negeri atau PRU (Pilihan Raya Umum).

“Soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya negeri dan pilihan raya umum, KIMMA dan lain-lain (Friends of BN) pernah diberikan kerusi untuk bertanding,” tambahnya.

Zahid dalam ucapannya menyentuh tentang kesetiaan yang menjadi keutamaan BN dalam parti yang sentiasa bersama dengannya.

Menurutnya, dalam menjadi rakan politik perkara paling penting adalah tidak mengkhianati antara satu sama lain.

“Suatu keikhlasan mesti diterjemahkan bukan hanya dengan kata-kata tetapi mesti dengan dikotakan, semua mesti ditepati.

“Itulah makna setia kawan dan keikhlasan. Bukan menggamitnya apabila mahu mencapai satu cita-cita …Dalam situasi beginilah penting bagi kita untuk tidak khianat. Apa gunanya setia kalau dalam hati ada khianat,” katanya sambil menyatakan tidak merujuk kepada mana-mana pihak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast