Jairo da Silva.

KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Jairo da Silva disahkan telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan susulan kecederaan di bahagian bibir ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.

Perkembangan itu dimaklumkan kelab menerusi laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers, yang menyatakan pemain berusia 34 tahun itu menerima beberapa jahitan akibat luka koyak di bibir.

Menurut kenyataan tersebut, Jairo turut menjalani pemeriksaan X-ray serta imbasan CT di Kompleks Perubatan Raja Abdullah sebagai langkah berjaga-jaga selepas insiden berkenaan.

“JDT mengucapkan semoga cepat sembuh kepada Jairo Da Silva selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala ketika aksi ACLE bertemu Al Ahli di Arab Saudi.

“Beliau menerima beberapa jahitan di bahagian bibir yang terkoyak selepas insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perlawanan tersebut, Jairo mencetuskan detik cemas apabila dilihat terbaring dan seakan tidak sedarkan diri selepas terkena sepakan di muka oleh pemain lawan, Ali Majrashi yang cuba mengeluarkan bola menerusi sepakan gunting pada minit ke-36.

Beliau kemudian diusung keluar pada minit ke-39 selepas tidak dapat meneruskan permainan dan digantikan oleh Ager Aketxe.

Majrashi turut berdepan nasib malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-19 sebelum dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap Jairo.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Al Ahli yang juga juara bertahan bangkit meraih kemenangan menerusi jaringan Franck Kessie pada masa kecederaan babak pertama sebelum Galeno menambah gol kedua pada minit ke-54. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast