Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik semula penggantungan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas tiga tahun sekali gus membuka ruang untuk beliau kembali aktif dalam parti itu.

Hishammuddin menerusi hantaran ringkasnya di Facebook  meluahkan rasa syukur atas keputusan tersebut dan berikrar untuk terus berjuang serta berkhidmat kepada parti dan rakyat.

Menurutnya, beliau akan memikul amanah yang diberikan dengan penuh komitmen serta berpegang kepada prinsip perjuangan yang selama ini dipegang.

“Alhamdulillah, penggantungan telah ditarik semula. Saya akan terus berjuang dan berkhidmat. Memikul amanah dengan komitmen dan prinsip,” katanya.

Beliau turut menegaskan kesetiaan terhadap perjuangan UMNO dengan ungkapan ‘Dulu, Kini, Selamanya’.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu bersetuju menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki pula memaklumkan seramai 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat telah diterima semula untuk menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO bagi memperkukuh perpaduan dan kestabilan dalaman parti. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO terima semula tanpa syarat Hishammuddin, KJ bersama 6,252 ahli

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast