Reaksi Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika dijemput hadir pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tempoh berada di luar parti memberinya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.

Beliau turut merakamkan kesyukuran dengan penuh rasa rendah diri diterima kembali semula kepada parti itu.

Beliau menyedari mempunyai amanah besar selepas UMNO membuat keputusan menerimanya semula.

“Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam masa yang sama, Khairy berharap keputusan tersebut menjadi titik permulaan baharu untuk melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam menerima kembali permohonan saya sebagai ahli parti.

“Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah membuat keputusan ini dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti,” katanya lagi.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu bersetuju menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

Selain Khairy, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Syed Hamid Albar termasuk 6,252 bekas pimpinan serta ahli peringkat bahagian dan cawangan seluruh negara diterima kembali ke pangkuan parti itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast