KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menguatkuasakan pematuhan terhadap standard Kualiti Perkhidmatan (QoS) yang telah ditetapkan termasuk pengendalian bagasi penumpang secara tepat pada masa dan cekap.
Tegasnya, ia akan mengambil tindakan pengawalseliaan serta penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan.
“CAAM kekal komited untuk menegakkan standard tertinggi dari segi keselamatan, kualiti perkhidmatan dan kecekapan dalam sektor penerbangan Malaysia, serta akan terus memastikan akauntabiliti dalam kalangan semua entiti yang dikawal selia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan insiden kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1, petang semalam.
Dalam pada itu, CAAM turut mengingatkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk melaksanakan langkah pembetulan dan pencegahan yang perlu bagi mengelakkan kejadian berulang.
ARTIKEL BERKAITAN
CAAM juga mengesahkan mengesahkan bahawa operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 telah kembali stabil susulan gangguan sementara BHS yang berlaku petang semalam.
Sistem tersebut kini telah dipulihkan dan operasi lapangan terbang termasuk daftar masuk serta pelepasan penerbangan telah kembali seperti biasa, katanya.
“Sebagai pengawal selia sektor penerbangan, CAAM telah melaksanakan pemantauan rapi terhadap proses pemulihan dan terus berinteraksi dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat-syarikat penerbangan bagi memastikan penstabilan operasi sepenuhnya serta pematuhan terhadap semua standard keselamatan dan perkhidmatan yang berkuat kuasa,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
















