KUALA LUMPUR – Dua pegawai bomba bertindak pantas menyelamatkan dua wanita termasuk seorang warga emas dalam insiden kebakaran di sebuah gerai makan di medan selera berhampiran Masjid Al Falah Felda Sungai Tiang, di Pendang, Kedah, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 5.15 petang itu, kebakaran hanya melibatkan dapur gerai makan berkenaan ketika dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Muhammad Athir Maula Esaha dan Mohammad Anas Elyas yang kebetulan berada di premis berkenaan.
Ketika kejadian, kedua-dua pegawai berkenaan hadir untuk membeli makanan dan menyiapkan tugasan berkaitan pertandingan Kadet Bomba peringkat negeri Kedah namun suasana bertukar cemas apabila api marak dari salah sebuah gerai makan.
Mohammad Anas menerusi media sosialnya berkata, pada awalnya, api yang tinggi disangka berpunca daripada aktiviti memasak biasa, namun keadaan sebenar didapati berpunca daripada hos gas yang tercabut semasa proses memasak.
Keadaan itu menyebabkan kebakaran berlaku secara tiba-tiba dan menghalang laluan keluar apabila api marak di bahagian pintu, manakala pintu kabin gerai didapati terkunci serta sukar dibuka, menyebabkan dua mangsa terperangkap dalam keadaan panik.
Susulan itu, mereka bertindak menyelamat mangsa dengan membantu mengeluarkan mangsa ke kawasan selamat selain memastikan orang awam di sekitar kawasan dalam keadaan selamat bagi mengelakkan risiko kecederaan.
Katanya, menyedari ketiadaan alat pemadam api di lokasi kejadian, salah seorang pegawai berlari sejauh kira-kira 300 kaki ke masjid berhampiran untuk mendapatkan dua unit alat pemadam api.
Operasi pemadaman itu dilaksanakan dengan pendekatan taktikal, di mana tindakan ‘rescue’ dan ‘confinement’ dilakukan oleh kedua-dua anggota, manakala proses pemadaman api berjaya disempurnakan menggunakan alat pemadam api yang diperoleh.
Bagaimanapun, kebarakan itu berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya manakala kedua-dua mangsa dilaporkan hanya mengalami luka kecil serta berada dalam keadaan selamat.
Jelasnya, orang ramai disaran agar memastikan pemasangan peralatan memasak berada dalam keadaan selamat serta menyediakan alat pemadam api di premis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette
















