KUALA LUMPUR – Pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan hidup adalah maraton dan mereka perlu menikmati perjalanan panjang itu.
“Hidup adalah maraton, bukan pecutan. Nikmatilah perjalanan itu, setiap hari adalah satu rahmat,” tulis Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.
Komen baginda itu dibuat di laman Instagram JDT selepas kelab itu memuat naik video perjalanan membanggakan Harimau Selatan dengan pencapaian mereka di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) meskipun tewas kepada Al-Ahli di peringkat suku akhir, kelmarin.
JDT mencipta sejarah di pentas tertinggi Asia musim ini apabila mara ke peringkat suku akhir ACLE buat kali pertama sebelum tewas 1-2 kepada juara bertahan, Al-Ahli di Stadium King Abdullah Sports City Hall.

Sementara itu, beberapa pemain JDT termasuk Oscar Arribas dan Marcos Guilherme turut meluahkan kekecewaan tidak berjaya membantu skuad itu mencipta kejutan mara ke separuh akhir ACLE.
Arribas bagaimanapun menganggap kekalahan di pentas suku akhir ACLE bukan pengakhiran buat JDT, sebaliknya ia menjadi sebahagian daripada perjalanan pasukan untuk terus berkembang dan bangkit lebih kuat selepas ini.
“Ia menyakitkan apabila tewas, lebih-lebih lagi ketika impian terasa begitu dekat. Malam seperti ini sukar untuk diterima, tetapi ia juga sebahagian daripada perjalanan yang membentuk diri kita.
“Bangga dengan perjuangan, bangga dengan pasukan dan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kita ambil pengajaran, kita pastikan terus berkembang dan kita kembali lebih kuat. Ini bukan pengakhiran,” tulisnya di Instagram. – MalaysiaGazette
















