GOMBAK – Sidang media mingguan Menteri Komunikasi akan dilaksanakan secara hibrid bagi mengurangkan beban kepada pengamal media susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung permohonan petugas media agar kuota BUDI95 dikekalkan kepada 300 liter seperti sebelum ini.
“Bagi membantu mengurangkan beban pengamal media, kita akan laksanakan sidang media mingguan Kementerian Komunikasi secara hibrid, jadi mereka dari Kuala Lumpur tidak perlu ke Putrajaya,” katanya pada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan cabang Gombak 2026, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, permohonan petugas media itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa depan.
Sebelum ini media melaporkan, GKMM memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan
Menurut GKMM, pihaknya menerima banyak keluhan daripada pengamal media khususnya di negeri-negeri yang perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.
Tambahnya, keputusan kerajaan mengehadkan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan ketika ini mula memberi cabaran besar kepada pengamal media dalam menyempurnakan tugasan di lapangan khususnya yang jauh dari pejabat masing-masing. – MalaysiaGazette
















