GOMBAK – Seramai dua ahli Parlimen Malaysia terpilih sebagai delegasi yang akan menyertai persidangan antarabangsa di Brussel bagi menyatakan bantahan rasmi terhadap tindakan rejim Israel yang semakin lampau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ahli Parlimen yang terlibat adalah daripada PKR iaitu Syed Ibrahim Syed Noh dari Ledang serta Datuk Bakhtiar Wan Chik dari Balik Pulau.
“Saya percaya pemilihan mereka adalah sangat tepat kerana Syed Ibrahim selaku Timbalan Menteri Sumber Asli pernah terlibat dengan isu (kemanusian) di Al-Aqsa sebelum ini dan beliau sangat fasih dengan isu ini.
“Keberangkatan mereka ini ke Brussels juga diharap dapat memperkukuhkan lagi diplomasi Parlimen Malaysia dalam menentang genosid dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang terus ditekan oleh undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang Gombak 2026, di sini hari ini.
Tambah Amirudin selain wakil daripada PKR, kerajaan sedang menunggu pengesahan nama-nama wakil daripada parti-parti lain seperti UMNO dan PAS bagi melengkapkan senarai delegasi ke Brussels.
“Kita sedang menunggu nama-nama daripada parti lain dan secara keseluruhannya terdapat enam hingga lapan orang wakil rakyat dari pelbagai latar belakang politik dijangka menyertai misi ini.
“Tujuan utama penyertaan dalam konvensyen di Brussels itu bagi membincangkan dan mengecam keputusan Parlimen Israel yang mengenakan hukuman mati menerusi gantung tanpa ruang rayuan kepada tahanan Palestin,” jelasnya.
Jelas beliau, undang-undang baharu tersebut sebagai satu bentuk kezaliman yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar prinsip keadilan sejagat.
“Malaysia melihat langkah ini sebagai satu perkembangan terbaru yang sangat membimbangkan dan memerlukan tindak balas kolektif daripada komuniti antarabangsa bagi menghentikan provokasi berkenaan,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila 2.0 (Sumud), Amirudin menjelaskan kumpulan peserta misi yang terlibat kini sedang menghampiri kawasan Sicily di Itali dan perjalanan mereka juga penuh cabaran.
“Terdapat sedikit kelewatan selama dua hari dalam jadual asal susulan ramalan cuaca yang buruk dan ribut melanda kawasan Barcelona baru-baru ini.
“Peserta terpaksa berhenti seketika bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin dan menunggu laluan angin yang lebih selamat sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau terpaksa pulang ke tanah air seketika bagi menghadiri sesi sidang Dewan dan menyatakan komitmennya untuk menyertai semula misi tersebut sebaik urusannya selesai.
“Insya-Allah saya akan kembali ke sana untuk menyertai selepas sesi Dewan kerana ada beberapa checkpoint penting seperti Greece, Istanbul, dan Cyprus bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka berada pada tahap yang terbaik.
“Misi ini dianggap sangat penting sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza,” jelansya. – MalaysiaGazette
















