Sumber : Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa lemas dalam tragedi berasingan yang berlaku di Kuantan dan Maran.

Dalam kejadian pertama petang semalam, Luqman Kamil Jamaluddin yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan dilaporkan lemas ketika aktiviti mencari kepah di Pantai Balok.

Kejadian kedua berlaku di Taman Ecorimba Lubuk Yu, Maran melibatkan seorang penuntut di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jengka, Muhammad Fauzan Aziman Mohd Saad, 18, yang ditemukan lemas ketika mandi di pusat rekreasi air itu.

Memetik kenyataan menerusi Kesultanan Pahang malam tadi, baginda berdua mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Paduka Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang.

“Dalam pada itu, Paduka Baginda berdua menasihatkan agar seluruh rakyat mengambil iktibar daripada kejadian tersebut serta sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air, khususnya di kawasan berisiko seperti pantai, sungai dan pusat rekreasi air,” kata kenyataan itu.

Baginda berdua turut mengingatkan orang ramai supaya lebih menitikberatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti berisiko, termasuk memakai jaket keselamatan ketika berada di laut atau di kawasan perairan terbuka, serta mengelakkan aktiviti tanpa pengawasan atau di lokasi yang tidak selamat.

Selain itu, ibu bapa dan penjaga diseru agar sentiasa memantau pergerakan serta keselamatan anak-anak, terutamanya ketika berada berhampiran kawasan air, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Paduka Baginda berdua menegaskan bahawa sikap berhati-hati, peka terhadap keadaan sekeliling serta pematuhan kepada langkah-langkah keselamatan mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan dan seterusnya melindungi nyawa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Dua Pelajar SMK Jengka 24 Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Sungai #MGFlash

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast