WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau menghantar satu delegasi ke Pakistan pada Isnin untuk rundingan dengan Iran, sambil mengulangi ancamannya untuk memusnahkan infrastruktur penting negara itu jika tidak bersetuju dengan satu perjanjian.
“TIADA LAGI MR. NICE GUY!” kata pemimpin itu pada Ahad dalam satu hantaran di akaun Truth Social miliknya, sambil berkata bahawa tanpa perjanjian, Washington akan “memusnahkan setiap loji janakuasa dan setiap jambatan di Iran.”
Iran dan AS serta Israel kini berada tiga hari sebelum berakhirnya gencatan senjata selama dua minggu yang menghentikan perang di Asia Barat yang bermula dengan serangan mengejut AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Setakat ini, hanya satu sesi rundingan selama 21 jam diadakan di Islamabad pada 11 April lalu, yang berakhir tanpa keputusan muktamad, walaupun persediaan untuk rundingan baharu diteruskan selepas itu.
“Kami menawarkan satu PERJANJIAN yang sangat adil dan munasabah, dan saya harap mereka menerimanya,” kata Trump dalam hantaran tersebut.
Tarikh bagi pusingan kedua rundingan masih belum diumumkan, dan Speaker Parlimen Iran serta perunding kanan, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan pada malam Sabtu bahawa kedua-dua pihak “masih jauh daripada perbincangan akhir.”
Sementara itu, di Islamabad, Pakistan, tahap keselamatan dipertingkatkan dengan ketara pada Ahad menjelang rundingan yang dijangka berlangsung.
Pihak berkuasa Pakistan turut mengumumkan penutupan jalan dan sekatan lalu lintas di seluruh bandar, serta di bandar bersebelahan Rawalpindi.
Trump berkata, perundingnya, yang tidak dinamakan, akan tiba di ibu negara Pakistan itu pada petang Isnin.
Satu isu utama dalam rundingan ialah simpanan uranium Iran yang diperkaya hampir ke tahap senjata.
Trump sebelum ini berkata, Iran telah bersetuju untuk menyerahkan kira-kira 440 kilogram (kg) uranium diperkaya.
“Kami akan mendapatkannya dengan masuk ke Iran, dengan banyak jentera penggali,” katanya.
Namun, Kementerian Luar Iran menegaskan bahawa simpanan itu yang dipercayai tertimbus jauh di bawah runtuhan akibat pengeboman AS dalam perang 12 hari pada Jun lalu, “tidak akan dipindahkan ke mana-mana,” dan penyerahannya “kepada AS tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan.” – MalaysiaGazette
















