KUALA LUMPUR – Batik Air menawarkan diskaun sehingga 35 peratus bagi tambang kelas Ekonomi Nilai dan Ekonomi Fleksi dengan promosi itu dibuka untuk tempahan dari sekarang hingga 30 April depan bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Januari 2027.
Batik Air dalam kenyataan berkata, tawaran tersebut hadir ketika pelancong kini bukan sahaja menitikberatkan harga, malah semakin mementingkan fleksibiliti serta kawalan dalam merancang perjalanan.
Menurutnya, kedua-dua pilihan tambang itu menyediakan kemudahan perubahan tarikh secara percuma.
“Bagi tambang Ekonomi Nilai, perubahan tarikh dibenarkan sekali sahaja, manakala Ekonomi Fleksi menawarkan perubahan tanpa had, tertakluk kepada perbezaan tambang.
“Penumpang turut menikmati elaun bagasi sehingga 25 kilogram bagi meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan,” katanya.
Tambahnya, promosi itu meliputi pelbagai destinasi termasuk Sydney, Shanghai, Bali, Phuket, Colombo, Bangkok dan New Delhi.
Katanya, tawaran berkenaan memberi lebih pilihan kepada pelancong bukan sahaja dari segi destinasi, malah cara mereka merancang perjalanan.
Seiring perubahan trend, ujarnya, permintaan terhadap tambang yang menawarkan jaminan dan fleksibiliti turut meningkat.
Batik Air berkata, usaha memperluas akses kepada pilihan tersebut bertujuan membantu pelancong merancang perjalanan dengan lebih yakin.
Maklumat lanjut serta tempahan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih Batik Air atau laman web rasmi di batikair.com. -MalaysiaGazette
















