KUANTAN – Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita yang berdepan detik cemas apabila terperangkap di beting pasir sejauh 100 meter dari pantai dalam kejadian di Pantai Balok di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.37 pagi.
Sejurus menerima panggilan itu, sembilan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.
“Operasi menyelamat mangsa dilakukan dengan menggunakan bot getah daripada Persatuan Perahu Layar Pahang menyeberangi air yang berkedalaman kira-kira 1 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Salahuddin, wanita berusia 24 tahun itu dipercayai turun ke beting pasir dan terkandas selepas tidak menyedari air mulai pasang di lokasi terbabit.
Justeru, beliau menasihati orang awam agar merujuk jadual pasang surut air laut sebelum melakukan sebarang aktiviti di pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Sentiasa perhatikan laluan keluar masuk ke kawasan beting pasir. Jangan tunggu sehingga air naik dan menutup laluan pulang.
“Beting pasir boleh kelihatan selamat semasa air surut, tetapi akan cepat ditenggelami apabila air pasang. Sentiasa peka dengan perubahan paras air laut,” nasihatnya. – MalaysiaGazette
















