Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai pameran sempena Majlis Pembukaan Pameran Defense Services Asia (DSA) 2026 dan National Security Asia 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 April 2026.

KUALA LUMPUR – Dasar berkecuali aktif Malaysia menjadikannya destinasi menarik bagi kerjasama pertahanan dan pelaburan sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan menembusi rantaian bekalan global tanpa kekangan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan kerjasama dengan semua rakan utama sekali gus memberi kelebihan kepada pembekal tempatan untuk bersaing secara komersial dalam persekitaran semasa.

“Pembekal dari Malaysia boleh memasuki rantaian bekalan tanpa komplikasi politik yang telah menyukarkan keputusan perolehan di tempat lain. Dalam keadaan ini, ia merupakan pertimbangan komersial yang nyata,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pameran Defence Services Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC)
2026 di sini hari ini.

Anwar turut menjelaskan, kerajaan sedang membangunkan asas industri pertahanan sebagai satu ekosistem yang membolehkan syarikat tempatan memperoleh serta mengekalkan kedudukan dalam rantaian bekalan antarabangsa berdasarkan keupayaan dan kualiti kerja.

“Disiplin yang membolehkan mereka memenangi kontrak juga akan memastikan kontrak tersebut terus kekal. Itulah satu-satunya asas yang wajar untuk dibina,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan perlindungan harta intelek dilaksanakan secara segera dan boleh dipercayai, selain memperkukuh kawalan perdagangan strategik serta memastikan pematuhan kontrak.

“Undang-undang akan terpakai kepada semua pihak secara sama rata tanpa pengecualian,” tegasnya.

Tambah beliau, peranan kerajaan adalah untuk menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan sektor industri membuat keputusan komersial secara bebas.

“Keputusan komersial adalah milik syarikat manakala tanggungjawab kerajaan adalah memastikan asas kepada keputusan tersebut berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Anwar menegaskan, perbincangan paling penting sepanjang pameran itu lazimnya berlaku antara pihak yang baru pertama kali bertemu, dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu yang masih di peringkat awal dan mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk direalisasikan.

“Kami berbesar hati menjadi tuan rumah kepada perbincangan ini dan menantikan hasil yang bakal terhasil daripadanya,” katanya.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 yang bertemakan Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Melalui Teknologi bakal menampilkan pelbagai program termasuk pameran pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa, forum pertahanan, majlis menandatangani kontrak, penyampaian Surat Niat (LOI) serta dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast