KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 kekal sebagai platform relevan untuk kerjasama pertahanan serta pertemuan pihak berkepentingan dengan lebih 1,456 syarikat dari 63 negara menyertai edisi ke-19 tahun ini.
Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, acara itu terus menjadi saluran penting bagi perbincangan strategik dan jaringan kerjasama sekali gus membuktikan komitmennya terhadap keterangkuman dalam industri pertahanan dan keselamatan.
Menurut beliau, platform seperti DSA kekal bertahan kerana menawarkan ruang yang serius dipercayai dan sukar ditandingi untuk kerajaan, angkatan tentera, polis, agensi keselamatan serta pemimpin industri bertemu dengan tujuan yang jelas.

“Ia juga merupakan platform yang terbuka, seimbang dan inklusif dari segi penyertaan di mana negara dan syarikat berkumpul pada kedudukan yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran itu di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, evolusi acara tersebut selari dengan perkembangan semasa, mencerminkan perbincangan keselamatan moden yang merangkumi aspek perlindungan awam hingga pembangunan keupayaan masa depan.
Tambahnya, kejayaan berterusan DSA bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh visi, kredibiliti serta kerjasama kukuh dan berterusan antara semua pihak terlibat.
Dalam pada itu, beliau berkata, suasana global yang dinamik serta pertimbangan geopolitik yang semakin kompleks menuntut pendekatan yang lebih seimbang dan adaptif dalam penganjuran edisi kali ini.
“Walaupun corak penyertaan secara semula jadi dipengaruhi perkembangan ini, angka penyertaan yang kukuh membuktikan keyakinan berterusan komuniti pertahanan dan keselamatan antarabangsa terhadap platform ini.
“Ia sekali gus membolehkan kami meneruskan tradisi memudah cara penglibatan peringkat tinggi, peluang perniagaan dan kerjasama antarabangsa yang bermakna,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















