BUTTERWORTH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 1,451 liter minyak diesel tanpa lesen sah, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Zahirafandi Abu Bakar, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid melalui jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 1,451 liter yang disimpan dalam enam tangki IBC di bahagian belakang sebuah lori kanvas jenama Dongfeng berwarna putih dengan nombor pendaftaran PLR 477 dalam keadaan menimbulkan syak munasabah pada 16 April lalu, kira-kira pukul 10.45 malam di Balai Polis Seberang Jaya, dalam daerah Seberang Perai Tengah dekat sini.
Perbuatan itu didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Alsad Nasrullah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri secara berkala kepada pegawai penyiasat dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti terlarang sepanjang kes berjalan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan yang dikenakan terhadapnya dikurangkan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan syarat tambahan melapor diri setiap bulan pada 20 haribulan di pejabat KPDN.
Kes akan disebut semula pada 22 Mei depan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette















