Empat lelaki yang ditahan dipercayai memiliki dadah jenis ganja. - Foto: FB Briged Tenggara PGA Rasmi

KUALA LUMPUR – Seramai empat lelaki ditahan bersama dadah jenis ganja seberat satu kilogram dalam Op Taring  Wawasan Kelantan di sekatan jalan raya Pos Serongga, Rantau Panjang, Jumaat lalu.

Serbuan oleh Pasukan Strike Force Kompeni A dan C Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.45 malam itu dilakukan selepas pihak polis mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dan motosikal Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan di hadapan Warung Royal Aina.

PGA dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggota bertugas kemudian mengekori kedua-dua kenderaan berkenaan sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya menahan kesemua suspek.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan satu beg merah mengandungi ganja seberat satu kilogram,” katanya menerusi Facebook Briged Tenggara PGA.

Menurutnya, selain dadah, polis turut merampas sebuah Honda CR-V, sebuah motosikal, lima unit telefon bimbit, pakaian serta dua topi keledar dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM137,700.

Ujarnya, kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 35 tahun didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan.

“Siasatan awal mendapati bekalan ganja tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pengkalan haram sebelum cuba dipasarkan ke Kuala Lumpur sebagai pasaran baharu,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Semua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast