Gambar lokasi kejadian. Ihsan IPD Rompin

ROMPIN – Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta pelbagai guna (MPV) dari belakang di Jalan Ibam-Rompin berhampiran Kampung Bangkong, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Kairol Ismail, 37, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi membabitkan sebuah MPV jenis Perodua Alza dan motosikal jenis Yamaha Y100 dinaiki mangsa.

“Kedua-dua kenderaan dari arah sama iaitu dari Ibam menghala ke Rompin.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, MPV dipandu seorang warga emas berusia 69 tahun itu bagaimanapun melanggar bahagian belakang motosikal mangsa dan mengakibatkan mangsa tercampak sejauh 37 meter,” katanya dalam kenyataan.

Motosikal mangsa tercampak ke parit.
Gambar : IPD Rompin

Sharif Shai berkata, motosikal mangsa juga tercampak ke dalam parit sejauh 66 meter ekoran rempuhan itu, manakala MPV terbabit dilaporkan terbakar.

Warga emas terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast