KUALA LUMPUR – Tindakan mencuri sardin dan pelbagai barangan keperluan harian membawa padah apabila seorang pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan dan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Faezahnoor Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rashid Mohd Noh, 44, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani tambahan tujuh hari penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri 20 barangan keperluan harian termasuk dua tin sardin, tepung serbaguna, pencuci pinggan mangkuk, sabun mandian dan penyegar udara bernilai RM404.22.
Kesalahan itu dilakukan di AEON Taman Maluri pada jam 8.10 malam kelmarin.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Mohd Poad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela, M. Soosai Raj dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBK) merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menyara dua anak yang masih bersekolah.
Menurutnya, tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu dan berdepan kesukaran kewangan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan denda selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah serta rayuan kedua-dua pihak. -MalaysiaGazette
















