Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap ketika sidang media pada Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Satu Buah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) Kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara telus terhadap insiden seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa mengasari seorang penunggang motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim, Kedah semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak melakukan tindakan semberono dengan menghukum seorang anggota polis hanya berdasarkan rakaman video pendek yang tular di media sosial sahaja.

“Tak boleh buat tindakan semberono, itu akan merentap semangat anggota polis ketika membuat penguatkuasaan sebab mereka yang menjadi suspek ini, kadang-kala agresif. Yang kita tengok itu beberapa tempoh yang singkat isi video itu.

“Sebelum itu, ada tak subjek yang kita tahan itu bertindak agresif? Ada tak dia mengerakkan motosikal dia menentang arus? Ada tak dia berlaku insiden dia melanggar kenderaan polis?

“Jadi, biar pasukan polis siasat dulu. Jangan kita hukum hanya kerana kita tengok video beberapa saat itulah. Ada beberapa perkara di sebalik sebelum insiden itu dirakam dan disebarkan,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Terdahulu Saifuddin menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Kapal Misi Serbaguna 2 yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng mengesahkan satu rakaman video tular berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan kejadian melibatkan anggota polis dan seorang lelaki di Jalan Tunku Putra, Kulim, pada pagi Isnin.

Tengku Mohd Faisal berkata, dalam rakaman berkenaan, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum anggota terbabit bertindak mengasarinya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi semasa anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Jalan Sungai Ular.

Jelasnya, suspek cuba ditahan telah bertindak melawan dengan menendang motosikal milik anggota sebelum melarikan diri dengan menunggang secara berbahaya, termasuk melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Saifuddin juga berkata, sebarang tindakan penguatkuasaan oleh pegawai dan anggota polis tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan tugasan penguatkuasaan.

“Saya sudah pun menghubungi Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan, semak sama ada, wujud kepatuhan, tatacara dari segi penguatkuasaan.

“Kemudian, jika di sana ada keperluan, kalau pada akhir siasatan itu menunjukkan ada keperluan untuk menggerakkan Jabatan Integriti bagi menilai sama ada SOP itu ada pelanggaran atau tidak. Saya kena tengok semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast