KULIM – Anggota polis yang dipercayai terlibat dalam insiden tangkapan lelaki sehingga tular di media sosial semalam, telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara siasatan dalaman dijalankan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika tangkapan dibuat.
“Anggota itu telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu hasil siasatan oleh pihak JIPS.
“Siasatan turut melibatkan penelitian terhadap tindakan anggota terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, lelaki tempatan berusia 32 tahun yang ditahan dalam kejadian itu direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan satu rakaman video berdurasi 29 saat tular memaparkan seorang lelaki ditarik daripada motosikal sebelum berlaku kekasaran oleh anggota polis dalam kejadian di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, di sini.
Tengku Mohd Faisal memaklumkan kejadian itu berlaku ketika anggota menjalankan operasi ronda cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Suspek dipercayai bertindak agresif dengan menendang motosikal milik anggota sebelum melarikan diri dengan menunggang secara melulu, melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui dua bungkus plastik lutsinar disyaki mengandungi air ketum, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Insiden lelaki dikasari polis: Tak boleh semberono ambil tindakan – Saifuddin
















