ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres yang tular memandu sebelah tangan dan disahkan positif dadah jenis syabu membawa 13 penumpang minggu lalu direman empat hari di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee sehingga Jumaat ini.
Ia bagi membantu siasatan di bawah dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati memasukkan dadah ke dalam badan.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar mengesahkan suspek lelaki berusia 53 tahun itu juga mengaku mengambil dadah berkenaan sebelum memulakan pemanduan bas berkenaan yang membawa 13 penumpang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 15 April 2026 kira-kira jam 3.50 pagi semasa bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru.
Pada 16 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang memburu pemandu bas yang tular videonya memandu sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan khayal ketika perbuatannya itu dipercayai dirakamkan penumpang bas berkenaan.
Rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.
Video tersebut kemudian tular melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat mengenai tahap keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette















